DATUK Seri Najib Razak hari ini menyindir Pengerusi DAP, Lim Guan Eng susulan kenyataan bekas Menteri Kewangan itu bahawa nilai Ringgit telah jatuh berbanding Dollar Amerika Syarikat (AS).
Najib mengingatkan, Guan Eng semasa menjadi Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Ringgit telah turun lebih 40 sen dari sekitar AS$1=RM3.83 kepada AS$1=RM4.23.
Ini kerana kata Ahli Parlimen Pekan itu, pelabur tidak yakin dengan pentadbiran kerajaan PH yang tidak kompeten serta ketidakstabilan politik.
“Sekarang, Guan Eng mengadu bahawa Ringgit terus lemah ke paras RM4.45 sekarang.
“Ringgit susut lebih 40 sen ketika kerajaan PH memerintah, Guan Eng tak nampak tapi bila RInggit susut lagi 30 sen, dia mengadu pula?,” sindir Najib menerusi hantaran di Facebooknya.
Bekas Perdana Menteri itu menambah, biasanya nilai Ringgit akan mengukuh sekiranya harga minyak dunia semakin tinggi dan ia trend biasa sebelum PRU14.
“Tetapi keadaan sekarang sebaliknya di mana nilai Ringgit masih melemah biarpun harga minyak dunia sudah tinggi.
“Keadaan ini juga disumbangkan oleh langkah kerajaan AS menaikkan kadar faedah mereka dengan amat laju untuk melawan inflasi.
“Dollar AS bukan sahaja mengukuh berbanding Ringgit Malaysia tetapi dengan kebanyakan matawang negara-negara lain,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau berkata, nilai Ringgit telah naik sejak awal tahun ini berbanding beberapa matawang utama dunia seperti Euro, UK Pounds dan Yen Jepun biarpun Ringgit melemah berbanding Dollar AS.
“Sekiranya hasrat Guan Eng benar-benar untuk nilai RInggit pulih dan masalah kekurangan tenaga kerja diselesaikan, maka Guan Eng patut tarik MOU dan tuntut PRU15 dilaksanakan segera.
“Ia agar sebuah kerajaan stabil yang kukuh dengan menteri-menteri yang kompeten dapat memulangkan keyakinan pelabur dan pasaran kewangan terhadap Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

