Ben Ibrahim
DUA maut manakala dua lagi mangsa terselamat dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 126 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, berhampiran hentian Rehat & Rawat (R&R) Temerloh, awal pagi tadi.
Mangsa maut ialah Tan Wee Li, 39, dari Cheras, Kuala Lumpur dan Nur Susilawati Che Deraman, 35, dari Sungai Lembing, dekat Kuantan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 2.47 pagi tadi.
Katanya, nahas itu membabitkan Produa Myvi dan sebuah lori treler.
“Kemalangan mengakibatkan pemandu dan penumpang Perodua Myvi meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan kelindan treler terselamat dalam kejadian itu.
“Mangsa yang maut dilaporkan tersepit sebelum dikeluarkan pihak bomba menggunakan peralatan khas,” katanya menerusi kenyataan di Kuantan, hari ini.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya manakala pemandu dan kelindan treler menerima rawatan pesakit luar. – Malaysiapost

