MENTERI Besar Kedah mempersoalkan kenyataan seorang pemimpin Umno yang mendakwa langkah PAS untuk bersendirian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah diduga awal.
Menjawab kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Muhammad Sanusi berkata apa yang dilontarkannya sangat luar biasa.
“Melaka sudah diperintah sendirian, Johor pun serupa, dulu berpakatlah sekarang sendirian.
“Dua negeri ini diambil alih (oleh Umno) daripada parti lawan (PH) pada Mac 2020 dengan muafakat antara parti-parti pembangkang.
“Bila dah jadi kerajaan dan kuat semula… tengah dok berjalan elok di separuh jalan, tup-tup depa (mereka) pulun sungguh-sungguh cari pasal sampailah bubar DUN dan buat Pilihan Raya Negeri pasal nak perintah sendirian.
“Dok tak dok dia kata kat kita – rupanya seperti diduga PAS nak perintah sendirian di Kedah… kerana berita ini sangat luar biasa, kena tulis juga sepatah dua supaya anak cucu tak lupa,” sindirnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam Jamil Khir berkata, pendirian sebenar PAS berhubung gagasan Muafakat Nasional (MN) atau rakan kongsi Perikatan Nasional (PN) sudah terserlah apabila parti itu menyatakan ‘PAS mahu perintah Kedah bersendirian’.
Kata Jamil Khir, sikap PAS sebelum ini menyaksikan parti itu menjalin kerjasama dengan Bersatu menubuhkan PN selepas menandatangani piagam MN.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu program politik Sabtu lalu, menyatakan parti itu berhasrat memerintah Kedah secara bersendirian selepas PRU15 tanpa perlu menumpang kerajaan campuran.
Katanya, jika Pas tidak memerintah bersendirian, seboleh-bolehnya parti lain yang ‘menumpang’ mereka bukan sebaliknya. – Malaysiapost

