Tiada MoU baharu antara PM dan PH

0
2

TIADA perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) baharu akan dimeterai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).

Ismail Sabri berkata, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan pembangkang tahun lalu, akan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Menurutnya, perkara itu dipersetujui beliau yang mewakili kerajaan dengan pemimpin utama parti pembangkang khususnya PH dalam pertemuannya bersama mereka sebelum ini.

“Soal sambung tak sambung (MoU) tak penting, yang pentingnya sekarang adalah soal persefahaman untuk kepentingan rakyat masih boleh kita teruskan. Kerjasama bertulis tidak ada lagi lepas ini,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di ibu negara, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, beliau dan kepimpinan PH bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baharu. 

“Saya pun mesti akur dengan keputusan parti saya. Saya sudah maklumkan kepada mereka (pemimpin PH), Umno sudah buat ketetapan tidak sambung.

“Tapi dari segi perjanjian secara bertulis, semua sudah bersetuju tidak perlu ada perjanjian bertulis baru, tapi persefahaman untuk kepentingan rakyat kita boleh diteruskan bagi menjamin kestabilan politik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here