Larang Ahli Parlimen lompat parti tanding semula – Ahmad Maslan 

0
1

AHLI Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan wakil rakyat yang melompat parti dilarang bertanding semula, termasuk dalam pilihan raya kecil (PRK). 

Beliau berkata, langkah itu perlu sebagai pengajaran kepada wakil rakyat supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut sehingga menyebabkan PRK terpaksa diadakan. 

“Saya mencadang yang melompat tak dibenar bertanding dalam PRK, tapi kelihatan apa yang kita nak pinda ini (rang undang-undang anti-lompat parti) akan benar mereka bertanding semula. 

“Pada saya, perkara itu tak wajar kerana kita perlu hukum mereka yang melompat… kita tak perlu benarkan mereka tanding dalam pilihan raya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat, hari ini. 

Ahmad mencadangkan undang-undang digubal supaya wakil rakyat yang melompat parti selepas menang, membayar semula dana politik yang diberikan parti kepada mereka ketika berkempen. 

“Jadi, kalau mereka melompat, mereka hendaklah memulangkan jumlah yang dibenarkan, contohnya seorang ADUN tak lebih RM200,000, jadi mereka kena pulangkan semula jumlah dana itu kepada parti mereka. Jika itu boleh dibuat, mereka akan fikir banyak kali sebelum melompat,” ujarnya. 

Beliau turut mencadangkan RUU bagi melarang Ahli Dewan Negara melompat. 

Sementara itu, Ahmad meminta menteri menjelaskan kekaburan dalam RUU itu, sama ada wakil rakyat akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika mereka melompat ke parti dalam gabungan sendiri. 

“Kekaburan masih berlaku dalam RUU ini. Jika mereka tanding guna lambang Perikatan Nasional dalam pilihan raya, contohnya wakil rakyat Bersatu atas logo PN, kemudian menyertai PAS, apakah ia dikira melompat?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here