Rafizi sifatkan Annuar Musa bongkak 

0
2

RAFIZI Ramli menyifatkan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa sebagai bongkak. 

Ia susulan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu yang didakwa memperlekeh desakan agar gaji menteri dipotong akibat krisis kenaikan harga barang. 

Menurut Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR, Annuar menyifatkan gesaan itu satu permainan politik kerana “tidak ada negara yang berjaya turunkan inflasi selepas memotong gaji menteri”. 

“Beliau lupa bahawa di negara-negara lain, layanan kepada menteri-menteri yang gagal menguruskan ekonomi sehingga menyusahkan rakyat adalah lebih keras dari potongan gaji. Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan. 

“Oleh itu, desakan agar menteri mengambil potongan gaji bukan untuk mengurangkan harga barang. Ia perlambangan hasrat rakyat kebanyakan mengenai beberapa perkara berhubung kemelut kenaikan harga barang sekarang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Tambah Rafizi, potongan gaji adalah satu isyarat dari rakyat bahawa menteri telah gagal menjalankan tugas menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga tidak terkawal dan menekan rakyat 

Potongan gaji menteri juga katanya, memaklumkan rakyat bahawa menteri sensitif kepada kepayahan dialami rakyat dan ia satu bentuk solidariti. 

“Potongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri juga tidak terkecuali dari penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam, jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama. 

“Saya berharap lebih ramai pimpinan masyarakat dan orang ramai meneruskan desakan agar menteri mengambil potongan gaji untuk membentak kembali keangkuhan menteri seperti Annuar Musa ini. 

“Jika tidak, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil berbulan lama sebelum sesuatu keputusan konkrit diambil,” katanya. 

Kelmarin Annuar yang juga Ketua Umno Ketereh dilaporkan berkata tindakan pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri yang dicadang beberapa pihak, tidak akan menyelesaikan masalah inflasi yang membelenggu negara dan dunia ketika ini. 

Beliau menegaskan, kadar potongan gaji dan elaun anggota Kabinet tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu inflasi dan kenaikan harga barang. 

Justeru, beliau menggesa pihak yang mengusulkan cadangan pemotongan gaji dan elaun berkenaan untuk ‘berhenti bermain politik’ dan memberi fokus pada kaedah yang benar-benar mampu menyelesaikan isu inflasi secara tuntas. 

“Boleh kamu namakan satu negara yang dapat menurunkan kadar inflasi menerusi pemotongan (gaji dan elaun menteri)?,” kata Annuar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here