Kosongkan kerusi Parlimen jika tukar parti – PM

0
2

AHLI Dewan Rakyat yang bertukar parti, baik dalam gabungan sama atau berbeza akan kehilangan kerusi Parlimen disandang.

Ia antara lapan parameter utama dalam penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.

Ketika membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politiknya selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi.

Menurut Perdana Menteri, RUU itu turut memperinci keanggotaan Ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keahlian mereka dalam sesebuah parti politik, bukan keanggotaan parti itu dalam mana-mana gabungan.

Bagaimanapun, ujarnya, RUU itu memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi disandang.

“Ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan sama atau berbeza, adalah terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat.

“Mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti atau meninggalkan parti politik yang beliau menjadi calon semasa pilihan raya, untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat Bebas, akan terhenti menjadi Ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here