PEMUDA Umno berharap Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti yang mula dibahaskan hari ini akan disokong dan diluluskan sepenuhnya dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pindaan akta itu amat penting kerana langkah tersebut mampu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap ahli politik dan sistem demokrasi negara.
Katanya, proses berkenaan tidak boleh ditangguh lagi dan sekiranya ada Ahli Parlimen yang tidak menyokong, maka individu berkenaan adalah dalang katak yang melindungi acara ‘lompat katak’ selama ini.
“Pergolakan politik dan ketidakstabilan negara yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu menuntut kerajaan bertindak segera bagi memastikan kestabilan ini tidak bergantung kepada tindakan segelintir wakil rakyat yang gemar melompat parti.
“Dalam akta ini dicadangkan untuk membolehkan pindaan Perkara 48 yang berkaitan ‘kehilangan kelayakan menjadi Ahli Parlimen’ dengan memasukkan elemen sebarang tindakan lompat parti sebagai salah satu faktor hilang kelayakan.
“Perkara ini termasuklah untuk menambahbaik Perkara 46 (6) iaitu seseorang yang melepaskan keahliannya di dalam Dewan Rakyat hendaklah, bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, isu berkenaan perlu diperhalusi oleh ahli Dewan Rakyat dan memberikan makna baharu terhadap definasi perkara tersebut serta realiti hasrat pengundi.
Katanya, dengan pindaan itu nanti mana-mana ahli parti yang berhasrat melompat akan terlucut kerusi Parlimen yang disandangnya ketika itu.
“Cadangan Datuk Seri Azalina Othman, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno bagi pilihan raya semula atau ‘recall election’ perlu diambil kira di mana akan wujud mekanisme baru yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti,” katanya.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, Umno sehingga hari ini tetap konsisten dalam perkara tersebut dan menyokong kepada apa jua resolusi untuk menambahbaik akta lompat parti.
Katanya, Perhimpunan Agung Umno pada 19 Mac lalu dengan sebulat suara meluluskan usul yang menggesa melaksanakan transformasi institusi politik termasuk cadangan yang diperjuangkan agar Akta Anti Lompat Parti dan Pendanaan Politik dibentangkan di Dewan Rakyat.
“Pada Majlis Tertinggi (MT) Umno 24 Jun yang lalu juga menggesa supaya Kerajaan segera membentang Akta Anti Lompat Parti sebelum PRU-15 diadakan.
“Ini juga adalah sebahagian daripada syarat utama perjanjian MoU – keyakinan dan pembekalan (CSA) antara parti kerajaan dan pembangkang, yang mana RUU Lompat Parti perlu dibentang di dalam Parlimen di dalam tempoh perjanjian,” katana.
Beliau berkata, ketika ini keyakinan rakyat semakin terhakis dan kestabilan negara terus merudum akibat tindakan wakil rakyat yang tidak bertanggungjawab tersebut.
“Malah tinjauan yang dilakukan pusat penyelidikan swasta Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) juga membentangkan sebanyak 50 peratus individu percaya bahawa krisis politik semasa dapat dielakkan dengan pelaksanaan undang-undang tersebut.
“Pemuda Umno percaya, Umno akan terus memperjuangkan politik yang progresif, dinamik dan proaktif. Kelulusan ini akan akhirnya memberikan keyakinan kepada rakyat dan menghakis kecelaruan yang timbul selama ini.
“Proses ini tidak boleh ditangguh lagi, dan sekiranya ada juga wakil rakyat yang tidak menyokong, maka kita tahu lah siapa dalang katak yang sebenarnya, yang melindungi acara lompat katak selama ini,” katanya.
Terdahulu, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dijangka menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
RUU itu akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Malaysiapost

