POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik keputusan Dewan Rakyat semalam, meluluskan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (AKTA 747) termasuk Usul Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya amat menghargai usaha kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengemukakan semula usul pelanjutan Subseksyen SOSMA dan RUU IPCC 2020.
“Komitmen pihak KDN dan Ahli-ahli Parlimen dalam membolehkan lanjutan tempoh kuatkuasa Subseksyen 4(5) Akta SOSMA (2012) dan RUU IPCC diluluskan, adalah sokongan yang sangat besar dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Acryl Sani berkata, PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Perkembangan melibatkan Pelanjutan Subseksyen 4(5) SOSMA akan memberikan peluang untuk PDRM menjalankan tanggungjawab berkenaan dengan lebih efisien, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Selain itu, PDRM turut menyambut baik usaha kerajaan ke arah penubuhan IPCC demi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap PDRM,” katanya.
Semalam, lanjutan penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA bagi mengekalkan tempoh tahanan 28 hari diluluskan menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.
Subseksyen berkenaan akan terus berkuat kuasa selama lima tahun lagi selepas tarikh tamatnya pada 31 Julai ini. – Malaysiapost

