SRC International: Najib lantik Zaid Ibrahim ketuai rayuan akhir

0
3

DATUK Seri Najib Razak melantik pasukan pembelaan baharu diketuai bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan kes SRC International.

Dalam surat kepada Mahkamah Persekutuan, bekas peguamnya dari firma Shafee & Co memaklumkan mahkamah bahawa Najib telah melepaskan mereka.

“Perayu ingin memaklumkan bahawa beliau telah melantik Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguamcara,” kata Shafee & Co, lapor FMT hari ini.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan akhir Najib bagi tempoh 10 hari bermula 15 sehingga 26 Ogos depan.

Sebelum ini peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan peguam yang membela Najib dalam kes SRC International.

Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 untuk mensabitkan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram lebih RM42 juta milik SRC International yang dimasukkan ke akaun banknya.

Ia juga mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta namun Najib dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here