Wanita dituduh curi Milo bebas, ada individu baik hati bayar ikat jamin

0
3

SEORANG wanita, Suhaini Mohd yang menunggu untuk dibicarakan semula kerana dituduh mencuri dua paket Milo bernilai RM74, diikat jamin atas kemurahan hati seorang individu.

Peguam Naran Singh berkata, individu itu membayar ikat jamin RM3,000 semalam di Mahkamah Majistret Marang supaya ibu empat anak itu dapat dibebaskan dari Penjara Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

“Dia dibebaskan petang semalam dan dapat bersatu semula dengan keluarganya,” kata peguam itu, lapor portal Free Malaysia Today.

Pada 5 Julai lalu, Mahkamah Majistret Marang menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan selepas Suhaini, 43, mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.

Bagaimanapun, pada 19 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan perbicaraan semula dijalankan selepas beliau mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atas Suhaini.

Hassan yang memanggil kes itu atas kehendaknya sendiri selepas ia menarik perhatian umum, bersetuju dengan Naran bahawa prosedur perbicaraan adil tidak dipatuhi apabila Suhaini mengaku bersalah.

Suhaini ketika itu diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dia kemudian dihadapkan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, selepas prosiding Mahkamah Tinggi, dan didakwa sekali lagi melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Marang pada 25 Mei.

Kali ini, dia meminta dibicarakan dan dibenarkan diikat jamin RM3,000.

Suhaini dibawa semula ke penjara Pengkalan Chepa memandangkan prosiding berlangsung hingga lewat petang dan kes ditetapkan untuk sebutan pada 6 September.

Kejadian curi itu dirakam kamera keselamatan pasar raya terbabit dan pemiliknya mengekori Suhaini sebelum cuba menahannya.

Dalam keadaan tergesa-gesa untuk melarikan diri, Suhaini meninggalkan motosikalnya di stesen bas Marang. sebelum ditahan di rumahnya di Dungun. – Malaysiapost

Foto kkredit FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here