‘Sudah selesai Ya Allah, terima kasih Ya Allah’

0
2

“Alhamdulillah syukur, semuanya sudah selesai,” luah Azmawati Ab Kadir, 55, ibu kepada Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang hilang tanpa berita sejak 29 Oktober tahun lalu.

Ditemui media selepas pengebumian anak sulungnya itu awal pagi tadi, Azmawati bersyukur kerana jasad anaknya dijumpai dan segala urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih berjalan lancar.

“Sudah selesai Ya Allah, terima kasih Ya Allah, 24 tahun Allah pinjamkan dia untuk saya.

“Ya Allah syukur Alhamdulillah, dia (arwah) anak yang terbaik untuk saya. Semua sudah selesai. Ini semua ketentuan Allah,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Menurut Azmawati, dalam tempoh hampir 10 bulan kehilangannya, setiap masa dia teringatkan arwah.

Katanya, dia sering tertanya dan terfikir di manakah anaknya pergi ketika itu.

“Tempoh yang lama, tetapi sekarang hati saya lapang sangat, sebelum ini beban kerana terfikir-fikir mana anak aku?

“Kalau hujan macam sekarang ini, saya akan fikir abang di mana ye? Sekarang ini saya sudah tahu dia ada di sini, Sang Pencipta dia sudah ambil, saya reda,” katanya.

Jenazah Muhammad Iman Aqmar, yang ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan Pahang pada 23 Julai lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Putih, Pasir Gudang, jam 1 pagi tadi.

Berita kehilangan Muhammad Iman Aqmar tular di media sosial tahun lalu susulan gagal dikesan selepas bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu dengan memandu kereta miliknya. – Malaysiapost

Foto Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here