Jangan mansuh subsidi bahan api pukal – Najib

0
3

KERAJAAN tidak patut memperkenalkan perubahan besar kepada dasar-dasar ekonomi yang akan mengejutkan pasaran pada ketika jangkaan inflasi masih tinggi, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, keadaan itu akan mengakibatkan kadar inflasi lebih tinggi benar-benar berlaku, kerana peniaga akan naikkan harga sekiranya mereka jangka atau ramal inflasi akan tinggi.

“Sehubungan ini, saya ingin memberi amaran bahawa hasrat kerajaan mansuhkan subsidi bahan api pukal untuk memperkenalkan subsidi petrol bersasar tidak seharusnya dilakukan ketika ini di mana jangkaan inflasi tinggi masih wujud.

“Saya bukan peminat subsidi pukal sebab ianya membawa kepada pembaziran, penyeludupan besar-besaran, kesesakan trafik dan tidak menggalak pengguna beralih ke kereta elektrik ataupun kereta jenis jimat tenaga.

“Golongan yang akan lebih mendapat manfaat daripadanya adalah golongan T20 dan bukan B40 dan M40,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Najib berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya sebelum ini pernah memansuhkan subsidi pukal pada November 2014 untuk beralih ke pemberian wang tunai secara terus kepada golongan bersasar terutamanya bagi diesel yang memberi impak kepada kos pengangkutan barang-barang.

“Kita pilih tarikh November 2014 itu sebab ketika itu harga minyak dunia adalah sangat rendah dan dalam trend menurun.
Sebab itu apabila kita mansuhkan subsidi dan penetapan harga minyak RON95, harganya jatuh dari RM1.90 ke RM1.60.

“Dan sekiranya ianya naik semula pun, ianya dengan cara berdikit-dikit dan berasuran untuk memberi impak paling rendah kepada kadar inflasi,” katanya.

Menurutnya, keadaan berbeza ketika ini kerana harga minyak dunia adalah tinggi dan pemansuhan subsidi minyak untuk beralih ke sistem subsidi bersasar tidak boleh dibuat sekiranya tidak mahu kadar inflasi bertambah lagi teruk dan pasaran domestik menjadi huru-hara.

“Kerajaan tidak boleh asyik sebut nak mansuhkan subsidi pukal sebab hanya sebut sahaja akan membawa kepada inflasi lebih teruk seperti dijelaskan saya di atas. Jangan syiok sendiri dan asyik sebut=sebut dan menakutkan pasaran serta pengguna.

“Beritahu pasaran bahawa kerajaan tidak akan berbuat demikian dalam tahun ini dan hanya akan dilaksanakan apabila kadar inflasi turun semula dan terkawal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here