PAS sudah boleh bersiap sedia menjadi pembangkang di Kedah

0
2

UMNO Kedah telah lama bersedia untuk tidak menjadi sebahagian kerajaan negeri yang memerintah negeri itu ketika ini. 

Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kerajaan yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika ini tidak meletakkan kepentingan rakyat di hadapan sebaliknya gemar meraih populariti melalui untuk kepentingan tertentu. 

“Saya terpanggil untuk melontarkan sedikit pandangan sehubungan kenyataan YB Tan Sri Abdul Hadi Awang di Kompleks PAS Kota Sarang Semut tempoh hari. 

“Untuk makluman, YB Tan Sri, hakikatnya kami sememangnya sudah lama bersedia untuk tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan ini menjelang PRU yang akan datang atas sebab-sebab berikut

“Kerajaan ini adalah kerajaan pengumuman, kerajaan spin dan tak “genuine”, tidak meletakkan rakyat sebagai prioriti utama, setiap pengumuman adalah bertujuan untuk menaikkan “rating” dan populariti semata-mata,” katanya di Facebook, hari ini. 

Shaiful Hazizy juga membidas kerajaan negeri Kedah yang tidak menjaga kepentingan semua kaum di negeri itu. 

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang tidak seimbang, mempunyai kecenderungan menyisih dan mengenepikan sesuatu kaum atas kepentingan untuk terus berkuasa

“Kerajaan ini adalah kerajaan yang tidak jujur dan bercakap benar, sering mahu menutup kesalahan dan keaiban yang mereka sendiri lakukan pada masa yang lalu,” katanya. 

Selain itu, Shaiful Hazizy juga mendakwa Menteri Besar Kedah ketika ini tidak memiliki karisma dalam kepimpinannya. 

“Kerajaan ini mempunyai Menteri Besar yang tidak membawa imej yang harmoni dan boleh diterima semua pihak, sebaliknya lebih kepada imej yang tidak professional, suka bergaduh, cakap lepas, dan cenderung menggunakan tangisan bagi meraih simpati,” katanya. 

Justeru, beliau menegaskan,  Barisan Nasional bersiap sedia dan berusaha sehabis baik untuk kembali menjadi kerajaan yang lebih stabil dan bersifat mesra rakyat. 

“Akhir kata, nasihat saya kepada YB Tan Sri Hadi, daripada bersiap sedia untuk mentadbir kerajaan secara sendiri, lebih baik PAS berlatih dan bersiap siaga menjadi “pembangkang” yang baik. 

“Rakyat kali ini juga tidak akan mudah terpedaya semata-mata dengan tangisan, air mata ataupun sentimen siapa yang lebih jahil atau tidak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here