
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa cacar monyet serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata peringatan itu adalah berikutan pengisytiharan jangkitan cacar monyet sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau berkata, keputusan pengisytiharan itu dibuat susulan peningkatan jumlah kes di negara-negara bukan endemik cacar monyet dan wabak itu telah memenuhi tiga kriteria PHEIC iaitu kesan kejadian kepada kesihatan awam, kejadian luar jangka dan risiko penularan rentas sempadan, selain bukti dan data saintifik berkaitan jangkitan itu.
“Pada 17 Jun 2022, sebanyak 2,103 kes cacar monyet dilaporkan di 42 negara dengan satu kematian. Dalam tempoh kurang dua bulan, bilangan kes meningkat kepada 16,836 kes dengan lima kematian dan membabitkan 74 negara pada 22 Julai lalu.
“Kadar fataliti kes cacar monyet adalah 0.03 peratus. Kes cacar monyet pertama kali dilaporkan WHO adalah pada 15 Mei 2022 dan berlaku di beberapa negara bukan endemik penyakit ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sehingga 23 Julai lalu sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM dan semua kes telah disahkan negatif wabak berkenaan.
Khairy berkata, semua pengembara bukan warganegara perlu mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara-negara yang melaporkan cacar monyet akan menerima ‘pop up’ mesej kesihatan setiap hari melalui aplikasi berkenaan untuk mengingatkan agar mantau gejala jangkitan cacar monyet dan status kesihatan mereka.
“Pengembara yang tiba dari negara terbabit, dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan untuk tempoh 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.
“Gejala cacar monyet adalah demam, keletihan, sakit kepala, ruam makulapapular di muka, tangan dan kaki, lenguh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot serta bengkak kelenjar limfa,” katanya.
Menurutnya, KKM menyeru individu yang mempunyai gejala cacar monyet untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut serta mengelakkan dari kontak dengan orang lain supaya tidak berlaku penularan jangkitan.
“Bagi premis yang menyediakan perkhidmatan membabitkan kontak kulut dengan pelangan seperti spa, urutan dan lain-lain diminta untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran serta memastikan pelangan sihat.
“KKM sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk hospital dan klinik swasta dalam pemantauan serta pengesanan kes cacar monyet, disamping meneruskan aktiviti advokasi kepada orang ramai,” katanya. – Malaysiapost
