Pantun kesesakan di Kelantan tiada unsur politik – Sabri

0
2

PENGARAH dan pelakon berkaliber, Sabri Yunus menyangkal pantun yang ditulisnya semalam mengenai kesesakan jalan raya di Kelantan hujung minggu lalu berkaitan politik.

Sebaliknya, jelas beliau, penulisan pantun itu hanyalah menggambarkan kesesakan yang dialaminya ketika melalui Kota Bharu menghala ke Tumpat kerana sambutan hangat daripada rakyat Kelantan untuk program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM).

Justeru, katanya, ada sesetengah pihak cuba memutarbelitkan maksud pantun tersebut.

“Pantun saya tentang kesesakan hari ini (semalam) di Kelantan hanya pengalaman yang saya lalui pada hari Ahad 24 Julai.. bukan bermaksud sesuatu disebaliknya.. petikan pantun itu yang diambil oleh pihak lain tidak menggambarkan tujuan sebenar tulisan saya.

“Kesesakan berlaku di bandar dan pekan bukanlah di jalan yang memasuki sempadan negeri yang digunakan oleh perantau yang pulang musim raya.. penduduk yang menetap dalam negeri memberi sambutan yang sangat baik pada program yang dianjurkan di Kota Bharu, di Bachok dan tempat lain serentak… selama tiga hati berlangsung.

“Hari ini (semalam) hari terakhir program JAKM.. pada hemat saya hari terakhir dan jatuh pada hari bekerja, tentunya orang lebih berkurang dari dua hari sebelum yang jatuh pada hari cuti..tapi rupanya lebih teruk jemnya..orang masih mengunjungi acara hari terakhir,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau berkata, pantun itu tidak ditujukan kepada sesiapa ataupun politik, cuma menggambarkan keadaan kemeriahan bagi sambutan JKAM.

“Penulisan pantun hanya nak gambarkan kesesakan yang saya alami hari ini (semalam) nak melintasi Kota Bharu ke Tumpat.. itu saja.. terima kasih..tiada sebarang kaitan dengan unsur politik,” katanya.

Semalam, media melaporkan lima rangkap pantun empat kerat nukilan Sabri mencuri perhatian netizen.

Pelakon komedi yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu menzahirkan perasaannya dalam hantaran di Facebook miliknya berkenaan kesesakan teruk melanda negeri kelahirannya, Kelantan, hujung minggu lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here