Belum ada majikan gagal patuh gaji minimum – Saravanan

0
1
KUALA LUMPUR, 16 Nov -- Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M.Saravanan menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEHINGGA 30 Jun 2022 masih belum ada majikan yang didakwa kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022, jelas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan di Dewan Rakyat, hari ini.

Saravanan (BN-Tapah) berkata, ini adalah kerana, gaji bulan Mei 2022 hanya mula diterima oleh pekerja pada awal bulan Jun lalu.

Menurutnya, statistik majikan yang telah mematuhi dan tidak mematuhi Perintah Gaji Minima 2022 juga masih belum dapat disediakan berikutan kuat kuasanya perintah tersebut pada 1 Mei lalu dan pematuhan hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan berkanun.

“Penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,500 sebulan hanya terpakai kepada majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja.

“Ini adalah bagi memberi peluang kepada majikan kategori ini membuat persediaan sewajarnya. Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah memutuskan tiada penundaan diberi kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan.

“Ini kerana, bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan Covid-19 seperti Program Subsidi Upah telah berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) dan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkenaan statistik majikan yang telah melaksanakan dan tidak melaksanakan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan yang telah dikuatkuasakan mulai 1 Mei 2022.

Saravanan berkata, bagi memastikan semua pekerja di Malaysia mendapat manfaat daripada Perintah Gaji Minimum 2022, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sentiasa menjalankan pemeriksaan berkanun atau pemeriksaan mengejut ke atas majikan.

“Sehingga 30 Jun 2022 sebanyak 20,452 majikan telah diperiksa. Bagi bulan Jun 2022 sahaja sebanyak 3,049 tempat pekerjaan telah diperiksa di seluruh negara.

“Selain daripada itu, JTKSM juga akan menjalankan siasatan sekiranya aduan diterima dari pihak pekerja,” katanya.

Menurutnya, pada Jun lalu, JTKSM telah menerima sebanyak 157 aduan berkaitan dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022 dan hasil siasatan mendapati 118 majikan tidak mematuhi Perintah tersebut.

“Nasihat telah diberikan kepada majikan untuk mematuhinya. Sekiranya gagal, tindakan perundangan akan diambil ke atas mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here