AirAsia, Malindo tawar tukar tarikh penerbangan pelajar IPT

0
2

Nurul Huda Abhar

SYARIKAT penerbangan AirAsia Berhad dan Malindo Air menawarkan penukaran tarikh penerbangan berikutan penangguhan pendaftaran pelajar baharu dan lama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) baru-baru ini.

Menerusi dua notis yang dimuat naik di Facebook Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dimaklumkan bahawa kerjasama antara dua syarikat penerbangan terbabit sebagai usaha membantu pelajar IPT yang terjejas dengan penangguhan pendaftaran secara bersemuka bagi sesi pembelajaran 2020/2021.

Malindo dalam kenyataan berkata, pelajar yang terjejas boleh mendapatkan pengecualian fi penukaran tarikh.

“Ia tertakluk kepada perbezaan tambang,” katanya.

Sementara itu, AirAsia Berhad dalam kenyataan memaklumkan menyediakan kemudahan pertukaran tarikh tanpa had sebelum 31 Disember 2020 di laluan yang sama.

“Tiada bayaran tambahan tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk bagi pelajar dan ibu bapa.

“Pelajar boleh hubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat cara-cara bagi mengemukakan bagi tujuan ini,” katanya.

Baru-baru ini, KPT mencadangkan agar IPT menangguhkan sesi pendaftaran secara bersemuka susulan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak.

Susulan pengumuman itu, KPT mendapat kecaman hebat kerana ramai di antara pelajar telah menempah tiket penerbangan lebih awal, malah ada yang telah sampai ke kampus bagi sesi pendaftaran. -Malaysiapost

Foto Kredit: www.malaysiatopnews.com