LIMA rangkap pantun empat kerat nukilan pelakon Sabri Yunus mencuri perhatian netizen, hari ini.
Pelakon komedi yang popular menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu menzahirkan perasaannya dalam hantaran di Facebook miliknya berkenaan kesesakan teruk melanda negeri kelahirannya, Kelantan, hujung minggu ini.
“Menyeluruh jem di Kelantan,
Dalam bandar dan pekan pekan
Penuh sesak serbanika kenderaan
Tak tahu mana hala tujuan
Kereta lebih banyak terhenti dari berjalan
Kalau pun bergerak sangatlah perlahan
Ini bukanlah musim musim perayaan
Bukanlah kereta motor anak perantauan
Dua tiga hari ini besar program diadakan
Di sekitar Stadium menjadi tumpuan
Pelbagai aturcara telah dijayakan
Ada informasi juga hiburan,” katanya.
Tanpa menyebut sebarang nama, dipercayai pantun ini menyindir kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang memberi alasan kerajaan negeri tidak perlu menaik taraf jalan raya di negeri itu kerana kesesakan hanya berlaku dua kali setahun iaitu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha.
Semalam berlangsung program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Kelantan yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kota Bharu.
Selain itu, kesempatan cuti hujung minggu turut dimanfaatkan orang ramai melancong ke negeri Kelantan yang turut menyumbang kepada pertambahan bilangan kenderaan di negeri itu.
“Kota Bharu ke Tumpat satu penyeksaan
Tersekat lama dibulatan Pasir Pekan
Antara patah balik dan terus kedepan
Serupa saja tak ada perbezaan
Hanya mampu berserah pada Tuhan
Lalui saja lah dengan keredaan
Nak kencing berak kenalah tahan
botol mineral kosong jangan buangkan,” tulis Sabri lagi.
Dalam masa tiga jam, hantaran Sabri itu telah meraih lebih 2,000 tanda suka selain 200 komen dan lebih 50 dikongsi netizen. -Malaysiapost

