Jenazah 5 beranak maut nahas bertembung Hilux selamat dikebumikan 

0
2

JENAZAH lima sekeluarga yang maut dalam nahas berhampiran Hentian Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang semalam, selamat dikebumikan jam 2.50 petang tadi. 

Jenazah lima beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Butterworth, lapor Utusan Malaysia. 

Terdahulu, jenazah Mohd Rodhi Othman, 58; dan isteri, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, serta anak mereka, Siti Aishah, 32, dan suaminya, Ahmad Khomaini Abu, 30, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5, tiba di pekarangan masjid kira-kira jam 12.56 tengah hari. 

Waris terdekat turut diberi peluang menatap wajah kelima-lima jenazah sebelum disolatkan selepas jemaah selesai solat Zuhur. 

Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan yang dipenuhi kira-kira 500 ahli keluarga dan penduduk setempat yang hadir. 

Dalam kejadian jam 3.45 petang semalam, kesemua mangsa yang menaiki Perodua Alza maut selepas bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux. 

Kemalangan itu dipercayai berpunca apabila Toyota Hilux dari arah Gerik ke Jeli, dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga. 

Difahamkan, lima sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas selesai menghantar ahli keluarga mereka di sebuah pusat pengajian pondok agama di Kota Bharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here