Ben Ibrahim
SEMUA 33 pondok tahfiz dalam kawasan madrasah Al-Imaniyah, Jln Sungai Ular, dekat Kuantan, musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Pusat gerakan operasi (PGO) Bomba Pahang dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan, laporan mengenai kejadian itu diterima jam 9.39 pagi.
“Tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Operasi mengawal dan memadam kebakaran dilakukan 16 pegawai dan anggota menggunakan tiga aliran hos sepanjang 200 kaki dan sumber air dari jentera bomba,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kebakaran itu tidak membabitkan sebarang mangsa kerana semua pondok terbabit tidak mempunyai penghuni ketika kejadian.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Punca kejadian dan jumlah kerugian sedang disiasat oleh unit siasatan forensik Bomba Pahang. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Bomba Pahang
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

