Negara perlu mekanisme baharu agihan subsidi – Wan Saiful

0
1

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan inisiatif Kementerian Kewangan memperbaiki pemberian subsidi petrol adalah baik namun ia hanya langkah kecil.

Beliau berkata, rakyat mahukan ‘welfare reform’ lebih menyeluruh yang mesti dimulakan segera jika mahu memastikan kelestarian program bantuan kerajaan.

“Saya gembira mendengar Menteri Kewangan menyatakan mekanisme baharu agihan subsidi bersasar untuk petrol sedang dibina. Tapi mengubah hanya satu subsidi tidak akan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya dalam hantaran Facebook.

Wan Saiful berkata, kerajaan perlu reformasi mekanisme agihan bantuan dan subsidi yang menyeluruh agar ia menjadi lebih teratur dan bersasar.

Ujar beliau, matlamat perkara itu ialah supaya tiada sesiapa yang layak tetapi tertinggal daripada menerima bantuan.

“Saya dapati masih ada yang tidak tahu cara untuk memohon, dan ada juga tak tahu mereka layak untuk mendapat bantuan.

“Saya pernah suarakan agar kerajaan ambil langkah untuk “streamline” skim-skim bantuan supaya proses permohonan dapat disatukan dan dipermudahkan. Saya mahu ulang cadangan itu hari ini,” jelasnya.

Beliau turut mencadangkan empat langkah permulaan bagi penambahbaikan mekanisme pemberian bantuan.

“Wujudkan satu “master database” semua penerima bantuan yang boleh diakses oleh semua agensi baik yang berkenaan. Ini akan membolehkan kerajaan membentuk satu gambaran besar mengenai penerima, pemohon dan bantuan-bantuan yang layak mereka terima.

“Permudahkan proses pendaftaran agar pemohon mengisi satu borang sahaja. Tak perlu lagi mengisi pelbagai borang untuk mohon bantuan dari agensi yang berbeza-beza. Ini memerlukan kerjasama antara kementerian dan antara agensi termasuklah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain lagi,” katanya.

Selain itu, beliau berkata konsep ‘negative income tax’ yang dipopularkan Profesor Milton Friedman boleh dijadikan panduan dalam menentukan jumlah bantuan yang perlu diberikan.

Katanya, satu penanda aras ditetapkan oleh kerajaan dan golongan berpendapatan kurang dari aras itu diberi bantuan untuk membolehkan mereka mencapai aras tersebut.

“Kita boleh ambil pengajaran daripada pengalaman United Kingdom bermula tahun 2010 menyusun semula pelbagai bentuk bantuan kerajaan dan menyatukan beberapa skim menjadi satu skim baru yang dipanggil ‘Universal Credit’,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here