KEDUDUKAN Kelantan di tempat kelima dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 membuktikan rakyat negeri itu senang dan berpuas hati dengan kehidupan mereka, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah.
Menurutnya, markah MHI yang diperoleh Kelantan jauh meninggalkan kedudukan negeri lebih maju seperti Selangor.
“Kita (Kelantan) termasuk antara negeri yang bahagia. Bahagia ini bermaksud rakyat puas hati, rakyat senang walaupun ada masalah. Maka sebab itu kita masuk dalam indeks bahagia.
“Kita dapat skor 7.0, beza sedikit dengan Terengganu 7.2 (keempat), berbanding dengan Selangor 5.0, (Kelantan) jauh berbeza.
“Itu negeri yang dikatakan orang cerdik, PH (Pakatan Harapan) perintah, hasil bumi banyak, negeri kaya, tapi rakyatnya tidak bahagia, kedudukan paling bawah lagi,” katanya memetik Malaysiakini ketika mengulas data MHI dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Naib presiden PAS itu berkata demikian pada sesi ceramah pascasidang DUN Kelantan di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, malam tadi.
Media baru-baru ini melaporkan MHI 2021 menunjukkan negara ini secara keseluruhan berada pada tahap Bahagia apabila mencatatkan skor 6.48.
Menurut laporan MHI yang julung kali dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Labuan merekodkan skor tertinggi, iaitu 9.29 atau ‘Sangat Bahagia’, manakala 11 negeri beserta Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan skor pada tahap ‘Bahagia’.
Melaka serta Selangor pula berada pada tahap Sederhana Bahagia.
Mohd Amar yang juga Adun Panchor berkata, rakyat Kelantan dinasihat supaya berfikir dengan baik dan tidak mengikut perasaan ketika ada pihak yang mahu menukar pentadbiran negeri itu.
“Jadi kita pilih nak apa dalam hidup, kita sebagai pengundi sebagai rakyat apa yang kita nak?
“Kita kena fikir jangan turut perasan, siapa kita nak bagi (perintah) nak tukar kerajaan?” soalnya. – Malaysiapost

