Steven Sim diingat jangan politikkan acara terjun wanita SUKMA

0
1

DESAKAN Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim agar Menteri Belia dan Sukan, menjelaskan punca ketiadaan acara terjun wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 membuktikan dirinya gagal memahami mengenai penganjuran kejohanan itu.

Setiausaha Politik Menteri Belia dan Sukan, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata walaupun telah dijelaskan berkali-kali mengenai punca ketiadaan acara itu kerana jumlah penyertaan tidak mencukupi, Sim masih menolak kenyataan itu malah cuba mempolitikkannya.

Justeru, beliau menasihati Sim agar berhenti untuk mempolitikkan isu itu dan memberi ruang kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjalankan tugasnya demi pembangunan sukan tanah air.

“Selain itu, Sim diharap tidak menggunakan nama atlet negara untuk kepentingan politik sendiri. Selaku bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, beliau seharusnya lebih matang dengan perkara seperti ini.

“Sekali lagi saya mengingatkan Sim untuk menghentikan niat melaga-lagakan pihak berkepentingan dalam industri sukan negara demi tujuan politik kotor.

“Percayalah, rakyat memerhati dan bijak membuat penilaian sendiri,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam Sim menggesa kerajaan memandang serius kenyataan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengenai ketiadaan acara membabitkan penerjun wanita dalam SUKMA, September ini.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal perlu mengambil serius mengenai sektor sukan yang baginya berada dalam ‘krisis’ sejak penularan Covid-19.

“Amat tidak masuk akal kita kekurangan penyertaan terutama dalam sukan terjun kategori wanita, sedangkan negara kita pernah menjadi juara dunia,” katanya.

Dua minggu lau, media melaporkan 12 acara digugurkan daripada SUKMA kerana penyertaan negeri tidak menggalakkan dengan sukan terjun antara paling terjejas.

Lima acara digugurkan dan semuanya membabitkan acara wanita iaitu 1 meter (m) papan anjal, 3m papan anjal, 10m platform, 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama.

Temasya yang dijadual berlangsung di Lembah Klang dari 16 hingga 24 September itu mensyaratkan sekurang-kurangnya enam kontinjen negeri mengambil bahagian bagi membolehkan ia dipertandingkan. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here