VETERAN Umno mendesak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan mengapa beliau mengarahkan Tan Sri Tommy Thomas menjawab surat waris Sultan Sulu sehingga ia menjadi asas kepada tuntutan yang berlaku hari ini.
Setiausaha Agungnya Datuk Mustapha Yaakub berkata, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakannya itu yang dipersoalkan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
“Veteran Umno mendesak Mahathir supaya menjawab pertanyaan TS Apandi Ali, bekas Peguam Negara khususnya wajib jawab soalan satu dan dua.
“Kedua-dua soalan itu melibatkan maruah negara dan rakyat wajib tahu cerita sebenar disebalik keputusan yang dibuat oleh Mahathir,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook, Mohamad Apandi menuntut penjelasan Dr Mahathir terhadap empat persoalan berhubung tindakan Tommy itu.
Beliau berkata, surat tuntutan itu dijawab Tommy yang juga bekas Peguam Negara ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PN) bertarikh 9 September 2019.
“Kenapa AG (Peguam Negara) pada zaman Mahathir, iaitu TT (Tommy Thomas), telah diarah untuk menjawab surat tuntutan ke atas Sabah oleh pewaris Kesultanan Sulu.
“… yang mana surat bertarikh 19hb September 2019 itu, telah menjadi asas tuntutan mereka di Sepanyol dan dikuatkuasakan di Perancis?,” katanya.
Pada masa sama, Mustapha berkata, pihaknya berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil pendekatan serius dalam menangani isu tuntutan berkenaan.
“Veteran Umno juga mendesak kerajaan supaya jangan memandang remeh terhadap keputusan dan tindakan luar biasa oleh Mahathir sehingga meletakkan Malaysia dalam keadaan yang memalukan,” katanya.
Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan, Dr Stampa yang juga penimbang tara Sepanyol mengarahkan Malaysia membayar pampasan kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.
Malah, Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo. -Malaysiapost

