TIDAK mahu terus ketinggalan, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli secara rasmi memaklumkan sudah membuka akaun TikTok.
Menerusi kapsyen pada video TikTok pertamanya, Rafizi menjelaskan akan menggunakan aplikasi itu untuk membawa kempen mengajak anak muda keluar mengundi dengan memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
“Saya akan bawa kempen #AyuhMalaysia ke TikTok untuk menyakinkan anak-anak muda untuk keluar mengundi dan memilih KEADILAN/PH dalam PRU akan datang,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau akan terus belajar untuk membiasakan diri dengan aplikasi baharu berkenaan supaya kandungan akaun TikToknya bertambah baik.
Selain itu, beliau juga mempelawa orang ramai termasuk pengikut media sosialnya untuk turut serta menjadi ‘follower’ akaun TikToknya.
“Video pertama nampak sangat amatur. Macam-macam komen orang bagi termasuk pasal lubang hidung saya.
“InsyaAllah saya akan terus belajar (semua kandungan saya di media sosial saya buat dan sunting sendiri) supaya kandungan TikTok saya lebih baik.
“Saya mohon bantu saya menang pertempuran maklumat di TikTok juga. Mohon follow akaun TikTok saya di rafiziramli,” katanya.
Terdahulu, menerusi video sulungya di TikTok, Rafizi mendedahkan berhubung isu penyelewengan wang sebanyak RM1.5 bilion di Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Baru-baru ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Rafizi sebagai ‘ketua pasukan perang’ parti itu bagi menghadapi PRU15 akan datang.
Keputusan itu dicapai PKR pada mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu bagi penggal 2022-2025, Khamis lalu.
Rafizi akan dibantu Naib-Naib Presiden dan pengarah pilihan raya yang lalu, Fuziah Salleh. – Malaysiapost

