Masih banyak IKS tidak ada sijil halal

0
3

HANYA 10 peratus daripada 1.3 juta syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memiliki sijil halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC), Hairol Ariffein Sahari, berkata jumlah pemilikan sijil halal dalam kalangan usahawan IKS di negara ini masih rendah, sekali gus menyukarkan usaha merebut peluang pasaran di luar negara.

“Secara umumnya kita ada kira-kira 1.3 juta syarikat IKS dengan 200,000 daripadanya terbabit secara langsung dalam penghasilan produk halal.

“Namun, jumlah (syarikat) yang memiliki sijil halal masih rendah, iaitu sekitar 10,000 sahaja buat masa ini.

“Lebih menyukarkan lagi, daripada 10,000 yang ada sijil halal, hanya 3,000 saja yang mempunyai kemampuan menghasilkan produk untuk tujuan eksport,” katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Berdasarkan statistik HDC, nilai eksport produk halal bagi tahun 2021 berjumlah RM36.3 bilion dan dijangka meningkat kepada RM56 bilion menjelang tahun 2025.

Terdahulu, Hairol menghadiri Program Jelajah Halal Malaysia 2022 Peringkat Pahang yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

Ketika ditanya mengenai punca masih banyak IKS tidak memperoleh sijil halal, Hairol berkata, kebanyakan usahawan mempunyai persepsi bahawa proses mendapatkan sijil halal membabitkan kos terlalu tinggi.

“Sebenarnya kos untuk memohon sijil halal hanyalah sekitar RM400 hingga RM500 sahaja, tapi banyak juga perlu dibelanjakan usahawan untuk melayakkan mereka menerima sijil itu.

“Maksud saya ialah membabitkan naik taraf kilang mereka untuk mematuhi standard ditetapkan JAKIM dan begitu juga dengan peralatan digunakan dalam penghasilan produk.

“Sebab itu, sijil halal dikeluarkan JAKIM diiktiraf di peringkat global kerana prosesnya sangat ketat dan diyakini oleh negara luar,” katanya.

Sementara itu, Norolazali ketika ditanya mengenai antara usaha dalam merancakkan industri halal di Pahang menjelaskan satu pusat sehenti membabitkan semua agensi berkaitan perlu ditubuhkan bagi memudahkan proses permohonan sijil halal oleh usahawan IKS di negeri ini.

“Perkara ini antara pendekatan yang boleh dilihat kerajaan Pahang dan kita percaya pihak HDC sedia bekerjasama dalam hal ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here