Lelaki hari ini sudah tidak berkualiti lagi? – Idris Ahmad

0
3

AGENSI-AGENSI Islam khususnya di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu segera menyusun program-program yang membumi dan berimpak tinggi dalam menangani isu membabitkan masalah institusi kekeluargaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata ia susulan banyak kejadian bunuh di kalangan ahli keluarga sendiri yang dilaporkan mutakhir ini yang amat mendukacita dan membimbangkan.

Beliau berkata, kerapuhan institusi kekeluargaan juga menjadi salah satu penyumbang kepada masalah sosial pada hari ini dengan pendidikan anak-anak terabai apabila ibu bapa mereka sering bergaduh dan berantakan.

Menurutnya, adalah lebih parah, apabila si ayah mendera dan memukul fizikal isteri dan anak-anak, namun inilah realiti yang selalu dibaca dalam laporan akhbar.

“Pelbagai pihak seperti kaunselor, ahli akademik, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak anggota keselamatan perlu bergabung untuk menjayakan pengisian program-program berkenaan.

“Kepelbagaian latar belakang ahli-ahli dan pembicara akan memberikan maklumat dan ilmu yang komprehensif kepada kita semua,” katanya ketika berucap di seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Beliau berkata, seminar bertajuk ‘Lelaki dambaan syurga’ berkenaan adalah antara model program dan pengisian yang boleh dilaksanakan di institusi masjid surau termasuk di negeri-negeri.

“Peranan lelaki amat penting bagi memastikan keharmonian keluarga, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia

“Jelaslah bahawa tanggungjawab lelaki amat berat dan besar dalam menentukan kestabilan institusi kekeluargaan yang secara tidak langsung akan membawa kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, senario hari ini bagaimanapun menampakkan sebaliknya, apabila hampir saban hari dilaporkan kes golongan lelaki yang mengambil kesempatan ke atas kenaifan golongan wanita.

“Ayah dan datuk yang sepatutnya melindungi golongan wanita di bawah tanggungjawab mereka telah bertindak ibarat haruan makan anak.

“Begitulah juga, si ayah yang sepatutnya berperanan sebagai ketua keluarga, tetapi tidak berfungsi dengan baik, bahkan tidak mampu menjadi figura dominan yang boleh dicontohi dan dihormati oleh anak-anak,” katanya.

Idris turut membangkitkan persoalan apakah benar dakwaan golongan lelaki hari ini sudah hilang sifat Qawwam atau golongan lelaki hari ini sudah tidak berkualiti lagi.

Beliau bagaimanapun yakin impian untuk meramaikan lelaki Qawwam yang didambakan sebagaimana panduan daripada al-Quran dan hadis masih dapat direalisasikan.

“Oleh sebab itu, inisiatif Lelaki Qawwam ini diwujudkan bagi mengukuhkan pemerkasaan tanggungjawab dan peranan golongan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela kepada golongan wanita, ahli keluarga dan masyarakat.

“Penting untuk kita sama-sama berganding bahu secara kolektif dalam menjayakan inisiatif Lelaki Qawwam melalui pelbagai bentuk program yang akan dilaksanakan, khususnya kepada kaum lelaki,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here