Kediaman ditimbuni sampah, barangan terpakai dibersihkan

0
2

MAJLIS Perbandaran Manjung (MPM) terpaksa mengambil tindakan melakukan pembersihan di sebuah rumah yang dipenuhi sampah barangan lusuh dan terpakai di Taman Bintang, Pantai Remis, semalam.

Dalam satu kenyataan, MPM memaklumkan tindakan itu dilakukan susulan aduan diterima daripada penduduk setempat serta keingkaran pemilik kediaman melakukan pembersihan walaupun sudah diberikan notis dan dikenakan kompaun.

“Kerja-kerja pembersihan bermula pada jam 8.30 hingga 11 pagi dilakukan susulan aduan diterima daripada penduduk setempat berkaitan keadaan persekitaran rumah yang kotor dan dipenuhi sampah daripada pelbagai barangan lusuh hingga menyebabkan kacau ganggu.

“Aktiviti pembersihan ini disertai 18 anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar dan enam anggota Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM,” menurut kenyataan itu.

MPM memaklumkan, sebelum ini telah mengeluarkan notis kacau ganggu kepada pemilik rumah supaya membersihkan kawasan rumah daripada sampah sarap tersebut.

“Kemudian, MPM sekali lagi mengeluarkan kompaun kepada pemilik rumah kerana gagal mematuhi arahan notis tersebut.

“Tindakan tersebut berdasarkan Seksyen 46(1)(D), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan barang-barang kitar semula di lorong tepi dan hadapan premis yang menyebabkan halangan dan kacau ganggu bau di tempat awam,” katanya.

Difahamkan rumah berkenaan didiami suami isteri bersama dua anak dan keseluruhan dua tan sampah membabitkan surat khabar, sampah pukal, besi buruk serta tin aluminium dibersihkan dari kawasan hadapan, tepi dan lorong belakang rumah itu.

“MPM memohon kerjasama masyarakat agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran kediaman dan tidak mengumpulkan sampah kerana boleh menyebabkan kacau ganggu serta pembiakan Aedes yang mengakibatkan demam denggi,” katanya. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here