Sultan Johor tinjau kerja pembinaan Projek RTS di Woodlands

0
2

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan berangkat melawat tapak projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link di Terminal Woodlands North, Singapura.

Menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda turut berkenan meninjau perkembangan serta kemajuan semasa projek berkenaan yang akan menjadi satu sistem pengangkutan rel baharu menghubungkan Johor-Singapura, kelak.

“Pelaksanaan projek RTS Link itu bukan sahaja memberikan manfaat daripada segi sosio ekonomi, malah bakal mengubah lanskap pengangkutan awam di Johor, selain terus mengeratkan hubungan dengan Singapura.

“RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di Johor Bahru yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Johor dan delegasi disambut Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran.

Baginda tiba di republik itu pagi semalam bagi lawatan rasmi di atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Lee Hsien Loong.

Menurut kenyataan itu, projek tersebut merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Terminal Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands North di Singapura yang dijangka beroperasi pada penghujung 2026.

“Pengangkutan rel ini juga dijangka dapat mengurangkan kadar kesesakan di Tambak Johor sehingga 35 peratus dan mampu menampung sehingga seramai 10,000 penumpang setiap jam melalui stesen di Bukit Chagar dan Woodlands.

“Kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) akan ditempatkan di stesen Woodlands North dan Bukit Chagar, dan ketika ini kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dengan kontraktor di kedua-dua pihak yakin projek itu mampu disiapkan tepat pada masanya,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bahagian kerja infrastruktur Malaysia, termasuk stesen kereta api, depoh dan 2.7 kilometer jejambat darat dan laut, dikendalikan oleh MRT Corp, anak syarikat Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd.

“Pembinaan di sebelah Singapura bermula pada Mac 2021. Stesen kereta api itu akan menjadi salah satu yang terbesar di republik itu apabila siap dan akan menyediakan pautan perjalanan yang lancar ke Laluan Thomson-East Coast dan stesen MRT Woodlands North.

“Rapid Transit System Operations Sdn Bhd (RTSO), usaha sama antara Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corporation Ltd, akan menjadi pengendali pautan metro baharu ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here