POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu iklan palsu di media sosial yang mempromosikan jualan keahlian dan lambang (crest) ahli kehormat Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata menurut iklan berkenaan, ahli yang menggunakan lambang persatuan terbabit akan diberikan keistimewaan seperti perkhidmatan pengiring polis dengan bayaran RM300 bagi 10 kilometer (km).
“Pemilik kenderaan juga diberikan keistimewaan memasang cermin gelap dan tiada tindakan oleh pihak berkuasa sekiranya memandu dalam keadaan mabuk.
“Lambang persatuan berkenaan juga dikatakan simbol prestij jika digunakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, iklan itu disertakan nombor telefon seorang individu bagi dihubungi oleh orang ramai yang berminat mendapatkan keahlian dan lambang persatuan berkenaan.
“PDRM mengesahkan tawaran iklan berkenaan adalah palsu dan sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan iklan terbabit.
“Tiada sebarang kelebihan sedemikian yang wujud atau ditawarkan kepada mana-mana pihak seperti didakwa,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang menerima iklan promosi berkenaan, diminta untuk tidak terpengaruh atau berhubung dengan individu yang dinyatakan dalam iklan terbabit.
“Masyarakat juga dinasihatkan agar merujuk saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Malaysiapost

