Idris jamin beri kerjasama agar kes penipuan visa haji furada tidak berulang

0
2

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) bagi memastikan tiada lagi bakal jemaah haji menjadi mangsa penipuan visa haji furada.

Menterinya Senator Datuk Idris Ahmad, berkata setiap tahun TH mengingatkan kepada mereka yang ingin mengerjakan ibadah haji supaya berurusan dengan TH dan agensi-agensi pelancong yang dilesenkan oleh TH sahaja.

Katanya, bagi musim haji 2022, pihak TH telah memberi lesen untuk mengendalikan pakej haji kepada 22 syarikat yang rata-rata mempunyai pengalaman dalam pengurusan haji dan umrah.

“Untuk makluman visa furada ialah visa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi melalui hubungan baik, namun tidak mempunyai kaitan langsung dengan TH.

“Sebab itu kita mengharapkan supaya orang ramai memilih syarikat-syarikat yang berlesen,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) dan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) mengenai kes penipuan visa haji furada.

Menurutnya, TH juga terus mengambil tindakan sekiranya ada hal-hal berkaitan dengan tawaran berkenaan haji dengan memberi surat tunjuk sebab kepada syarikat yang membuat tawaran visa haji furada.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan dalam kes sebelum ini iaitu semasa kerajaan Arab Saudi Masih belum membuka kuota haji, namun telah ada syarikat mengiklankan berkenaan visa furada berkenaan.

Idris berkata, bagaimanapun kes terbaru yang berlaku membabitkan ratusan bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan ini adalah di luar pengetahuan pihaknya.

“Kalau ada dalam pengetahuan kita, kita akan terus hantar surat tunjuk sebab, kenapa buat (tawaran) sedangkan Arab Saudi belum buka berkenaan kuota haji.

“Kes penipuan (ini), pada saya amat kesal sangat, kerana kes menipu melibatkan orang yang nak pergi Tanah Suci.

“Sebab itu, kita akan (beri) kerjasama dalam kes-kes sebegini, sama ada dengan polis, TH atau dengan syarikat-syarikat yang berdaftar dengan MOTAC. Agar boleh diambil tindakan undang-undang,” tegasnya.

Beliau berkata, TH juga sudah berusaha memberikan kesedaran kepada umat Islam mengenai risiko tawaran visa furada dan syarikat yang tidak berlesen berkenaan.

“Sila war-warkan perkara ini sekiranya ada maklumat untuk diambil tindakan. Kita juga harapkan mangsa membuat laporan polis,” katanya.

Pada 7 Julai, hampir 400 bakal jemaah haji dilaporkan terkandas di KLIA, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan yang menawarkan visa furada untuk menunaikan haji. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here