Penghantar makanan hina Islam didenda RM50,000

0
3

SEORANG penghantar makanan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang hari ini selepas mengaku bersalah menghina Islam menerusi satu rakaman video di saluran YouTube miliknya, Sabtu lalu.

Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Nor’muzil Mohd Razalli, 39, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Ketika menjatuhi hukuman, Hakim Ahmad Rizki menasihati tertuduh supaya insaf dan bertaubat atas kesalahan yang dilakukan, lapor Utusan Malaysia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Nor’Muzil didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi bersifat jelik melalui perkhidmatan aplikasi YouTube dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain yang pada jam 11.15 malam di hadapan sebuah stesen minyak di Cyberjaya, 16 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 233(3) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Nor’Muzil memohon dikenakan hukuman denda yang ringan atas faktor pekerjaannya selain mempunyai tanggungan.

“Saya nak buat rayuan untuk membayar denda ringan dan minta dikurangkan atas faktor kerja dan anak,” katanya.

Nor Azizah kemudiannya memohon kepada mahkamah agar menjatuhi hukuman pemenjaraan dan denda sebagai pengajaran kepada tertuduh berikutan kenyataannya yang telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Sekiranya perbuatan seperti dilakukan tertuduh dibiarkan berlaku, ia boleh menggugat keharmonian masyarakat dan mengancam keamanan kerana terdapat lebih 20 laporan polis yang dibuat berdasarkan hantaran itu.

“Ini kesalahan serius yang dibuat dengan sengaja untuk hina kesucian Islam, Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT, jika dikenakan hukuman ringan tertuduh cenderung untuk mengulangi perkara sama,” katanya.

Pada 17 Julai lalu, media melaporkan seorang lelaki yang menghina Islam menerusi satu rakaman video ditahan di sebuah rumah di Taman Bukit Kuchai, Puchong.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek yang juga duda dan bekerja sebagai penghantar makanan itu ditahan susulan video berdurasi 36 saat yang tular di laman sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here