Polis Pahang bimbang kes kemalangan maut meningkat

0
2

POLIS Pahang sedang meneliti pendekatan bagi mendidik pengguna jalan raya di negeri itu bagi mengelak daripada terbabit dalam nahas, terutamanya kemalangan maut.

Ini susulan peningkatan kes kemalangan termasuk kematian di Pahang dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata statistik menyaksikan 11,951 kemalangan dicatatkan antara 1 Januari sehingga semalam, berbanding 7,759 kes dilaporkan dalam tempoh sama tahun 2021.

“Peningkatan 4,192 kes atau 54 peratus untuk tahun ini sangat membimbangkan dan daripada jumlah itu, 213 adalah kes kemalangan maut berbanding 156 tahun lalu.

“Kemalangan tahun ini turut mengakibatkan 247 kematian berbanding 168 tahun sebelumnya.

“Terdapat juga kes pengguna jalan raya yang tidak bersalah kehilangan nyawa kerana sikap pemandu lain yang tidak bertanggungjawab ketika di jalan raya.

“Kita sedang melihat pelbagai langkah untuk membantu mengurangkan jumlah kemalangan termasuk anjurkan kempen kesedaran di seluruh negeri,” katanya selepas majlis penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 261 bekas anggota polis di kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Galing, Kuantan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli memaklumkan, pihaknya melalui Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik serta ibu pejabat polis daerah akan terus memantau kawasan yang terdedah kepada risiko kemalangan dan memastikan pengguna jalan raya berdisiplin semasa berada dalam kenderaan.

“Selain penguatkuasaan, kita perlu melihat usaha meningkatkan kesedaran dan melaksanakan program lebih berkesan bertujuan mengurangkan kes kemalangan maut,” katanya.

Beliau turut memberitahu polis akan meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi mengekang aktiviti ‘mat rempit’ daripada berleluasa di Pahang.

“Kita sudah telah mengenal pasti lokasi di mana golongan belia bermotosikal biasanya berkumpul dan kami akan menahan mereka yang terlibat dalam aktiviti lumba haram.

“Kita tidak mahu golongan belia terbabit dalam aktiviti kurang sihat ini kerana perbuatan ini bukan sahaja membahayakan diri mereka tapi turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Apa yang berlaku baru-baru ini di Georgetown, Pulau Pinang, kalau boleh kita elakkan dan kita tidak mahu insiden sama berlaku di sini,” katanya lagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang pada 16 Julai lalu, sekumpulan penunggang motosikal dipercayai berlumba secara haram apabila sebahagian daripada mereka hilang kawalan sebelum merempuh satu sama lain.

Lima daripadanya meninggal dunia akibat kemalangan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here