Polis KL terima 47 laporan penipuan visa haji furada

0
2

POLIS Kuala Lumpur mengesahkan setakat ini telah menerima sebanyak 47 laporan berkaitan penipuan visa haji furada oleh dua syarikat pelancongan yang beroperasi di Danau Kita, Setapak membabitkan kerugian RM2 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, berkata lima individu termasuk tiga wanita berusia 28 hingga 51 tahun telah ditangkap kerana dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

“Kesemua suspek telah direman selama tiga hari mulai 14 hingga 16 Julai lalu. Setelah tamat tempoh reman, kesemua tangkapan diserahkan kepada Polis Kontinjen Johor untuk siasatan berkaitan modus operandi yang sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beberapa tindakan sedang diambil bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan tindakan lanjut.

“Polis Kuala Lumpur menggesa orang ramai yang telah ditipu supaya membuat laporan polis dengan segera.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, media melaporkan hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana masalah visa haji furada. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here