Isu tuntutan waris Sulu bukan isu terpencil – Asyraf Wajdi

0
3

KETUA Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan isu tuntutan waris keturunan Sulu ke atas Sabah bukan isu pinggiran dan terpencil yang boleh dipandang enteng.

Beliau berkata, perkara yang melibatkan Sabah turut dirasai semua pihak sebagai sebuah negara berdaulat.

“Apatah lagi tuntutan sudah sampai ke peringkat merampas aset-aset Petronas di luar negara.

“Justeru, benarkanlah Ahli-ahli Parlimen yang diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dan kedaulatan negara sebagaimana peruntukan Perlembagaan berbahas usul tuntutan Sulu di Parlimen,” katanya dalam hantaran Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, apabila menyentuh isu berkepentingan awam dan kedaulatan negara seperti ini, lebih bermakna untuk usul sebegini dibincangkan di Parlimen.

Katanya, langkah itu lebih baik berbanding hanya bergegar di media sosial ataupun berterusan dengan berpolemik di luar.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata perbincangan berhubung tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah di Dewan Rakyat boleh menjejaskan kepentingan Malaysia dalam prosiding litigasi kes berkenaan.

Katanya, perbincangan itu berkemungkinan akan mendedahkan strategi negara dalam hal berkaitan, sekali gus memberi manfaat kepada pihak lain.

Pada 12 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Paris telah membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Februari 2022 yang dikeluarkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa berikutan tuntutan kumpulan Sulu melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Sebelum ini, dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here