PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiada tarikh akhir.
Ketua Pembangkang itu menjelaskan sebaliknya, ia hanya menetapkan tarikh pilihan raya atau tarikh pembubaran Parlimen.
Menurutnya, pihaknya akan melakukan rundingan bagi melihat masa depan MoU itu, terutama membabitkan beberapa isu besar lain yang belum dilaksanakan melalui perjanjian berkenaan.
“Dalam MoU tidak menetapkan tarikh akhir tetapi menetapkan tarikh pilihan raya..jadi kita masih berunding.
“Tetapi ini bukanlah muktamad kerana muktamadnya selepas kita bincang bersama dalam PH dan akan pastikan beberapa langkah lain berhubung tatakelola pengurusan kerajaan, penyelewengan, rasuah dan monopoli yang harus diketengahkan,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan oleh beliau dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu bersama Perdana Menteri.
“Paling utama adalah Akta Anti Lompat Parti dan jika ini diluluskan…insya-Allah dalam satu dua minggu lagi…kita akan bawa lagi apa-apa isu besar yang kita rasa kerajaan mesti tunaikan terutama isu tadbir urus dan rasuah,” katanya.
Anwar berkata, pembangkang bagaimanapun akan tetap membangkang dan tidak akan menyokong keputusan kerajaan yang dilihat tidak tepat. – Malaysiapost

