Kepala ditampar kerana salam tak pandang muka

0
3

HANYA kerana tidak memandang muka ketika bersalaman, seorang lelaki berang bertindak menampar kepala seorang jemaah di Masjid An-Nur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, kelmarin.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.10 petang itu selepas mangsa selesai menunaikan solat Asar di masjid berkenaan.

Video berdurasi 37 saat yang memaparkan kejadian itu turut tular di aplikasi Twitter sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian yang dibuat mangsa berusia 30-an.

Beliau berkata, kejadian berlaku di antara mangsa yang juga anggota TLDM dan suspek iaitu pesara TLDM di masjid berkenaan selepas selesai solat Asar.

“Selepas selesai solat, mangsa bersalaman dengan suspek yang tidak dikenali sebelum suspek tiba-tiba menampar belakang kepala mangsa dengan kuat hingga terkena telinga kanannya.

“Susulan itu mangsa mengalami sakit di bahagian belakang kepala dan telinga,” katanya.

Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca kerana mangsa didakwa tidak memandang muka suspek ketika bersalaman.

“Ia menyebabkan suspek yang juga pesara TLDM berusia 46 tahun berang dan beranggapan mangsa bersikap kurang ajar dengannya,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pihak sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung untuk dirakam percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

“Mangsa dalam kes ini kemudiannya tidak mahu meneruskan siasatan dan sudah menarik semula laporan polis yang dibuat. Kes ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Susulan itu, polis menyeru dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak menularkan video berkenaan kerana kes itu sudah selesai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here