Cadangan cuti haid perlu kajian lanjut

0
2
KUALA LUMPUR, 29 Sept -- Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Penggal Keempat, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

[PARLIMEN] CADANGAN untuk memperkenalkan cuti sakit haid masih dalam kajian, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Yusof.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kajian yang dilakukan melibatkan 57,000 responden itu akan siap pada Oktober ini.

“Kajian sedang dibuat dan akan siap pada Oktober tahun ini. Selepas siap, ia akan dibentangkan kepada kerajaan,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Charles Santiago (PH-Klang) yang meminta menyatakan adakah Kementerian mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cuti haid dan subsidi tuala wanita sebagai sebahagian daripada perlindungan sosial untuk wanita dari keluarga B40.

Dalam pada itu, Zailah berkata, pengenalan cuti haid memerlukan perbincangan lanjut dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kewangan, kesatuan sekerja dan pertubuhan majikan sebelum dipertimbangkan untuk dilaksanakan.

Katanya, ini kerana proses memperkenalkan cuti haid bukan sahaja melibatkan kesejahteraan wanita tetapi memberi implikasi dan produktiviti ekonomi negara.

“Buat masa ini terdapat kemudahan cuti sakit yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja sektor swasta dan awam,” katanya.
Siti Zailah berkata, ketika ini terdapat kemudahan cuti sakit dan cuti rehat sedia ada yang diperuntukkan oleh majikan kepada pekerja, sama ada di sektor swasta atau awam.

Sementara itu, katanya kemiskinan haid secara relatif merujuk kepada situasi apabila individu perempuan tidak mendapat akses kepada tuala wanita akibat kekangan kewangan.

“KPWKM berpandangan kajian lanjut perlu dilaksanakan berhubung keperluan pemberian subsidi tuala wanita bagi membolehkan kerajaan mendapat gambaran sebenar berhubung isu kemiskinan haid yang dialami oleh golongan wanita, terutama di kalangan isi rumah B40 di Malaysia.

“Selain itu, dapatan kajian ini membolehkan satu pendekatan yang lebih komprehensif dan bersasar diperkenalkan bagi menangani isu kemiskinan haid,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) mengenai cuti untuk wanita yang kematian suami, beliau berkata, setakat ini cuti berkenaan adalah selama tiga hari.

Bagaimanapun, katanya, Kelantan adalah satu-satunya negeri yang memberi cuti sehingga sebulan kepada kakitangan awam dengan gaji penuh kepada wanita yang kematian suami. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here