PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan kerajaan menangani isu kenaikkan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat.
Beliau berkata, keadaan ketika ini tidak terkawal apabila harga barang seperti minyak masak naik mendadak, sekali gus membuktikan kerajaan hari ini lebih teruk daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Kos sara hidup merupakan isu utama dan respons kerajaan amat mengecewakan.
“Keadaan tidak terkawal dengan harga minyak masak 5kg naik daripada zaman PH sebanyak RM19 kepada lebih RM45. Siapa cakap PH lebih teruk daripada sekarang?,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Guan Eng berkata, ketika kerajaan PH memerintah tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dikurangkan sebanyak 18 peratus dalam tempoh 22 bulan.
“Sekiranya diberikan penggal penuh lima tahun, pasti tol itu akan dimansuhkan. Bandingkan sekarang satu sen pun tidak dikurangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Guan berkata, beliau juga kecewa apabila kerajaan gagal menubuhkan Dana Penstabilan Harga sebanyak RM5 bilion untuk memperlahankan kenaikan harga.
“Justeru, rakyat kena bersatu untuk melawan harga barang naik dan memilih kerajaan baru yang jaga dan prihatin sama rakyat,” katanya. – Malaysiapost

