PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi membantu siasatan berkaitan perhimpunan atau ‘flash mob’s bantahan harga barang
Mohamad memaklumkan telefon bimbit miliknya juga telah dirampas pihak polis.
“Saya disoal siasat di Bukit Aman pagi ini berkait isu membela rakyat, menerusi flash mob bantahan kenaikan harga barang dan telefon bimbit saya telah dirampas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, menerusi kenyataan peguam mewakili Mohamad, Faiz Fadzil mengesahkan perkara itu.
“Hari ini Presiden Amanah memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Saya menemani beliau sebagai peguam.
“Siasatan berkaitan video pra-flashmob harga barang. Keterangan bermula pada jam 11.15 pagi dan berakhir jam 1.15 tengah hari tadi,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Katanya, sesi siasatan berjalan agak panjang memandangkan polis meminta telefon bimbit dirampas walaupun telah dibantah dengan hujah nas undang-undang.
Beliau berkata, soal siasat itu satu tindakan tidak wajar memandangkan video tersebut tiada kaitan dengan telefon bimbit Presiden Amanah itu.
Justeru, katanya, beliau telah menerima arahan daripada Mohamad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap polis kerana bertindak melanggar hak privasi dan prinsip keadilan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

