Pemimpin politik dikenalpasti putar belit isu ‘Makcik Goreng Pisang.’

0
3

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pemimpin parti politik yang dipercayai menyebarkan berita palsu mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Individu yang mempunyai jawatan dalam sebuah parti politik itu dikenalpasti bertanggungjawab menularkan satu potongan daripada ucapan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam yang memberi gambaran salah berhubung penggunaan minyak paket bersubsidi oleh ‘Makcik Goreng Pisang.’

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata selepas Perdana Menteri membuat penjelasan berhubung ketirisan subsidi, ada pihak yang mengambil kesempatan dan membuat hantaran di aplikasi TikTok yang membawa makna yang berlainan daripada maksud sebenar penjelasan diberikan.

“Perbuatan sedemikian adalah menyalahi peraturan dan undang-undang iaitu cuba menyebarkan berita palsu separuh benar kerana hanya mengambil sedutan separuh yang membawa makna yang berlainan daripada maksud yang sebenar

“Kita faham itu barangkali bagi tujuan politik untuk menanam kebencian dan untuk menghakis keyakinan rakyat seolah-olah Perdana Menteri tidak prihatin atau mengambil sikap anti penjaja-penjaja kecil,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu terbabit dan berharap amalan seperti itu tidak diteruskan kerana ia secara sengaja memesongkan fakta.

“Saya telah dimaklumkan oleh SKMM bahawa mereka telah mengenalpasti sekurang-kurangnya satu individu yang telah membuat hantaran di aplikasi TikTok dan tindakan susulan sedang diambil mengikut peraturan dan saluran sewajarnya.

“Individu berkenaan bukan salah seorang daripada Ahli Parlimen, walaupun diketahui mempunyai jawatan dalam parti politik tertentu tetapi bukan Ahli Parlimen

“Sebab saya percaya Ahli Parlimen semuanya telah mengikuti dengan baik dan gembira dengan penjelasan yang jelas yang diberikan oleh Perdana Menteri. Ini dilakukan oleh mereka yang bukan anggota atau Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Ismail Sabri ketika menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, berkata minyak masak paket bersubsidi adalah untuk kegunaan domestik tetapi terdapat peniaga termasuk peniaga kecil yang turut menggunakannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here