LARANGAN membawa makanan dan minuman kepada semua penumpang pengangkutan awam tidak diendahkan dua remaja perempuan yang sedang menikmati mi segera dalam sebuah gerabak tren.
Gambar dua remaja itu sedang memegang bekas plastik mi segera sambil melihat telefon bimbit dimuat naik RapidKL menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Kedua-dua remaja itu juga gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam tempat tertutup.
“Tak pernah pula kami sediakan air panas untuk makan megi dalam tren kami. Dah makan, tak pakai pelitup muka pula.
“Untuk keselesaan anda, ada sebab kami melarang penumpang untuk makan dan minum di dalam tren,” kata hantaran itu.
Rata-rata warganet kesal dengan tindakan dua remaja itu serta bimbang jika perbuatan itu berterusan akan merosakan dan mengotorkan fasiliti pengangkutan awam.
Ada juga yang mahu pihak RapidKL lebih tegas dengan salah laku ketika berada dalam pengangkutan awam supaya menjadi peringatan kepada pihak lain.
“Ya betul dilarang makan dan minum dalam tren tapi tidak diambil tindakan. Sila tengok MRT Singapura macam mana. Jangan la hanya tangkap gambar dan letak di FB,” tegas Tongong Tay.
“Gunakan CCTV dan speaker dalam tren tu. Control centre boleh buat teguran terus dalam tu. Jadi pengajaran ada rasa malu sikit biar ingat sampai mati,” kata Nor Hasyraf.
“Hari-hari RapidKL ulang dilarang makan dan minum di stesen atau dalam tren ada lagi tak faham Bahasa Melayu. Dari viral macam ni lebih baik ambil tindakan terus, selesai..,” kata Babyz Ieka. – Malaysiapost

