Memandu tanpa lesen, Haqiem Stopa akui kesilapan

0
1

PEMPENGARUH media sosial, Haqiem Stopa mengakui kesilapannya memandu tanpa lesen serta nombor pendaftaran kenderaan tidak ikut spesifikasi sekali gus menerima notis saman RM600.

Haqiem, 22, sekali lagi menerima kecaman dan menjadi bahan jenaka netizen selepas tular gambarnya ditahan polis berserta surat saman di laman sosial.

Sekalipun gambar yang tular itu tidak memperlihatkan jelas wajahnya, rata-rata netizen dapat mengecam lelaki terbabit adalah Haqiem.

Menjelaskan perkara sebenar, Haqiem mengakui ditahan polis ketika melalui sekatan jalan raya, kelmarin.

“Saya akui kesalahan dibuat, jadi kena tanggung akibatnya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Bagaimanapun Haqiem menafikan dia disaman atas kesalahan tiada lesen memunggang motosikal sebaliknya ditahan ketika memandu kereta.

Katanya, hanya satu notis saman dengan nilai RM600 atas dua kesalahan dikeluarkan ke atasnya dan bukan banyak seperti didakwa segelintir netizen.

“Selesai makan malam, saya dan pemandu peribadi terus bergerak untuk pulang ke pejabat saya di Sungai Buloh.

“Kebetulan pemandu peribadi saya tidak larat, jadi saya pandu kereta sendiri namun ditahan polis kira-kira jam 11 malam ketika melalui satu sekatan jalan raya di ibu kota.

“Hasil pemeriksaan, polis dapati saya tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, jadi saya terima kerana mereka (polis) hanya jalankan tugas. Lagipun memang betul saya bersalah,” katanya.

Bagaimanapun apa yang membuatkan Haqiem kesal ialah gambar dengan notis saman tertera butiran peribadinya ditularkan.

“Hairan juga siapa yang curi-curi ambil gambar kerana hanya saya, pemandu peribadi dan anggota bertugas sahaja ada ketika itu,” katanya.

Berhubung statusnya sebagai ikon permotoran yang sering dipertikai netizen, Haqiem berkata, sudah banyak kali dia menjelaskan kekeliruan ramai dalam hal itu.

“Banyak kali sudah saya beritahu yang gelaran itu bukan dapat secara rasmi tetapi orang tak faham.

“Apa boleh buat, cuma saya berharap netizen dapatkan berita betul sebelum percaya bulat-bulat kerana kesilapan penyampaian cerita boleh rosakkan reputasi seseorang,” katanya.

Semalam, media melaporkan berita mengenai seorang pempengaruh terkenal disaman kerana didapati tidak mempunyai lesen memandu ketika ditahan dalam pemeriksaan di Jalan Raja Laut, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, lelaki berusia 20-an berkenaan ditahan ketika sedang memandu kereta jenis Audi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim mengesahkan polis mengeluarkan notis saman terhadap individu berkenaan bagi kesalahan tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here