SEORANG wanita ditemui mati disyaki dibunuh rakan lelakinya di sebuah rumah sewa di Taman Mahsuri, Jitra tengah malam tadi.
Mayat Siti Nor Sufieza Md Sharif, 23, ditemui di ruang tamu rumah berkenaan selepas polis menerima maklumat pada jam 12.10 tengah malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, mangsa dipercayai meninggal dunia antara jam 4 petang hingga 9.45 malam.
Berikutan itu, katanya, polis menahan lelaki berusia 22 tahun yang disyaki rakan mangsa untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Tiada kesan kecederaan pada mayat mangsa cuma ada sedikit lebam di leher namun kita masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad dalam kenyataan berkata, suspek bekerja sebagai peniaga pasar malam itu direman tiga hari bermula hari ini. – Malaysiapost

