PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menegaskan wakil rakyat parti itu tidak berminat terlibat dalam cadangan undi tidak percaya terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali oleh pemimpin dalaman Umno.
Beliau berkata, ia semata-mata satu permainan politik rebutan kuasa yang tidak memberikan manfaat kepada rakyat.
“Keputusan rakyat Melaka yang dibuat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka harus dihormati dan tidak diperalatkan sehingga menggugat kestabilan politik demi merebut-rebut menjadi Ketua Menteri.
“Tumpuan harus diberikan kepada kebajikan rakyat dan menunaikan janji PRN. Oleh kerana permainan politik ini tidak menguntungkan rakyat maka DAP tidak mahu campur tangan dan ambil bahagian dalam sebarang undi tidak percaya yang dicanangkan oleh pemimpin lain Umno,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu mungkin berdepan undi tidak percaya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Portal itu memetik laporan sebuah akhbar berbahasa Cina, mendakwa Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dikatakan berhasrat mengambil alih jawatan Ketua Menteri meskipun ADUN Tanjung Bidara itu sudah beberapa kali menafikannya.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, kos sara hidup merupakan isu utama dan respons kerajaan bahawa kenaikan harga barang bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia, susah diterima apabila melihat keadaan di Singapura.
“Sungguhpun harga barangan juga naik di Singapura tetapi tidak seteruk seperti di Malaysia. Contohnya harga minyak masak 5 kilogram (kg) ialah naik daripada zaman Pakatan Harapan (PH) sebanyak RM19 kepada RM45 tetapi ia hanya sekadar RM36-7 di Singapura.
“Sebagai pengeksport minyak kelapa sawit yang kedua besar di dunia, rakyat Malaysia harus menikmati harga minyak masak yang lebih murah.
“Macam mana Singapura boleh jual minyak masak dengan harga yang lebih murah bila tidak ada ladang kelapa sawit langsung ,” katanya.
Katanya, rakyat tidak mengira kaum dan agama perlu bersatu melawan kenaikan harga barang dan kerajaan yang disifatkannya gagal. – Malaysiapost

