KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terkilan dengan tindakan segelintir pihak yang sering mensensasikan tajuk berita sehingga mengundang fitnah di media sosial.
Perkara itu dinyatakan susulan tindakan pihak tertentu yang dilihat memutarbelitkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penggunaan minyak masak paket oleh peniaga goreng pisang, semalam.
“Hari ini (semalam) ucapan PM mengenai minyak masak bersubsidi di Parlimen dipotong sekerat dan ditularkan.
“Kelmarin, kenyataan saya mengenai ROS, ditularkan tajuk yang disensasikan media tanpa membaca isu kandungan,” katanya menerusi Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, orang ramai kini lebih berminat membaca tajuk berita untuk membuat kesimpulan.
“Nampaknya era fitnah media sosial kini, ramai yang suka berita sekerat-sekerat dan baca tajuk berita untuk terus buat kesimpulan,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri menjelaskan kenyataannya berkenaan minyak paket yang digunakan Makcik Goreng Pisang cuba diputarbelit oleh sesetengah pihak.
Perdana Menteri kemudian tampil menjelaskan, beliau sebenarnya memaklumkan minyak paket yang bersubsidi tersebut adalah untuk kegunaan domestik bukan untuk komersial.
“Namun, apabila peniaga kecil menggunakan minyak berpeket, adakah kita akan saman mereka? Sudah pasti kita tidak sampai hati untuk mengeluarkan saman terhadap peniaga kecil yang menggunakan minyak peket,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Justeru, Ismail Sabri berkata, perkata itu bukan sesuatu yang mudah tetapi ada perkara-perkara yang perlu pertimbangkan.
Terdahulu, Ismail Sabri dalam sidang Dewan Rakyat semalam, mengakui subsidi bersasar masih belum boleh dilaksanakan, tetapi, mekanisme sesuai sedang dirangka supaya tidak ada mana-mana pihak yang tercicir. – Malaysiapost

