TIMBALAN Presiden, PKR Rafizi Ramli menggesa semua pimpinan dan cabang parti di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Razak, esok berhubung kecuaiannya ketika menjadi Perdana Menteri sehingga membawa kepada tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Menurut beliau, undang-undang memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan undang-undang, sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil, terhadap mana-mana penjawat awam yang telah cuai dalam menjalankan tugas awam.
“Jadi, dalam kes ini, kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri telah mendedahkan negara kepada tuntutan aset sebanyak RM67.5 bilion.
“Susulan itu, saya meminta cabang-cabang dan pimpinan PKR seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri sehingga membawa kepada tuntutan waris Sultan Sulu.
“Saya juga memanjangkan jemputan kepada aktivis akar umbi Amanah dan DAP di seluruh negara untuk bersama-sama dengan PKR menyertai siri laporan polis,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Sehubungan itu, Rafizi turut memaklumkan beliau bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, akan membuat laporan polis di Balai Polis Setiawangsa pada jam 11 pagi esok.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau minggu lalu telah mendedahkan bahawa masalah diwarisi oleh tiga Kerajaan Persekutuan berturut-turut mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu sebenarnya bermula daripada zaman pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri.
“Apabila negara mula mengetahui mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu yang melibatkan aset PETRONAS bernilai sekitar RM9 bilion baru-baru ini, Najib cepat-cepat cuba mengalihkan fokus rakyat dengan menuding jari kepada pentadbiran-pentadbiran selepas beliau.
“Sedangkan kertas timbang tara secara jelas menunjukkan fakta notis tuntutan itu telah disampaikan kepada pentadbiran beliau bertarikh 2 November 2017.
“Tuntutan itu juga bermula selepas pentadbiran beliau menghentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu sejak 2013 lagi,” katanya.
Oleh itu, beliau berpendapat bahawa wajar bekas Perdana Menteri itu turut mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan kecuaiannya semasa menjadi Perdana Menteri di antara 2013 hingga 2017 yang membawa kepada tuntutan waris Kesultanan Sulu yang kini dibebankan kepada setiap pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas beliau.
“Tuntutan ini bermula ekoran keputusan pentadbiran Datuk Seri Najib untuk menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu (seperti kehendak perjanjian) dalam tahun 2013.
“Sepatutnya, sekiranya beliau tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan.
“Keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia.
“Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Datuk Seri Najib masih menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Justeru, beliau juga meminta supaya pihak berkuasa menyiasat Najib di bawah peruntukan Kanun Jenayah sedia ada (Akta 574) dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan.
“Iaitu seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395) untuk menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukannya dalam menangani isu ini.
“Maka saya berharap laporan ini membolehkan kertas siasatan dibuka untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

