3 individu disyaki terlibat pembakaran haram ditahan

0
2

TIGA lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran di tapak pelupusan sampah haram berdekatan Plaza Tol Sungai Long, Kajang hari ini.

Kesemua mereka merupakan warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 35 hingga 45 tahun ditahan ketika hadir ke pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kajang.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, penahanan itu dibuat untuk membantu siasatan terhadap kesalahan melakukan pembakaran terbuka mengikut Seksyen 29A, Larangan atas pembakaran terbuka, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

” Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan.

” Individu-individu yang ditahan merupakan penjaga tapak pelupusan sampah haram tersebut dan rakan kongsi perniagaan yang menyewa tapak tersebut daripada pemilik tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata, kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri untuk izin dakwa di bawah Seksyen 44, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau berkata, berikutan musim panas dan kering yang sedang dialami negara, kebakaran terbuka mudah berlaku terutama di kawasan tanah gambut dan tapak-tapak pelupusan sampah yang tidak dikawal.

“Justeru, saya menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800- 88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here