Program Jualan Keluarga Malaysia diperhebatkan 

0
3

PROGRAM Jualan Keluarga Malaysia akan diperhebatkan di seluruh negara termasuk ke 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Fasa 2.0 yang bermula bulan ini sehingga akhir tahun.  

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa, kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi keseluruhan pembiayaan program itu yang akan diadakan pada setiap minggu.  

“Justeru, rakyat akan dapat membeli barangan dengan lebih murah sehingga 20 peratus dari harga pasaran. Ini dapat meringankan bebanan kos sara hidup bulanan, lebih-lebih lagi dari segi barangan dapur dan keperluan.

“Ini adalah kerana barangan yang akan dijual termasuk ayam, ikan, telur ayam, gula, minyak masak tepung gandum, sayur-sayuran dan buah-buahan.  

“Sepertimana yang baru dijawab oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri di Dewan Rakyat pagi tadi, program ini mendapat sambutan yang amat baik bukan sahaja daripada rakyat tetapi juga daripada semua Ahli Parlimen dan pihak Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar berkata, bagi isu ayam dan telur, komitmen kerajaan dalam membantu rakyat Keluarga Malaysia untuk menangani kenaikan kos sara hidup, pertama sekali dibuktikan dengan meningkatkan peruntukan subsidi kepada lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi tahun 2020.  

Katanya, daripada jumlah itu, RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur.

“Tindakan kerajaan untuk memberi subsidi ayam ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat kerana inilah pertama kali subsidi ayam diberikan bagi memastikan bekalan ayam pulih. Sekarang kita melihat hasilnya di mana harga telah mula stabil,” katanya.

Beliau berkata, melalui cerapan data harga mingguan, kerajaan mendapati kesan positif kerana harga sebenarnya berada di bawah harga kawalan RM9.40 bagi Semenanjung Malaysia.

“Harga purata nasional mingguan sehingga 9 Julai 2022 adalah RM9.22 dan negeri Pahang merekodkan harga terendah iaitu sebanyak RM8.95.  

“Pasukan Khas juga dimaklumkan oleh KPDNHEP bahawa sehingga 17 Julai (iaitu semalam), sebanyak 521,995 pemeriksaan telah diadakan di seluruh negara. Sebanyak RM52 juta nilai rampasan telah dibuat,” katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu minyak masak kelapa sawit,  sepanjang tempoh 1 Julai sehingga 15 Julai, beliau berkata, sebanyak 9,493 pemeriksaan telah diadakan di 3,316 buah premis.

“Dan nilai sitaan untuk minyak masak kelapa sawit sahaja adalah sebanyak RM2.1 juta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here